Gangguan Bekalan Air Di Lembah Klang Esok Hingga 22 Disember

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) hari ini sekali lagi mengingatkan pengguna di Selangor dan ibu negara agar menyimpan air secukupnya bagi menghadapi gangguan bekalan yang bermula esok sehingga 22 Disember ini.

Menurut Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred, ini kerana syarikat itu hanya menyediakan lori tangki kepada pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat.

Kira-kira sejuta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur bakal menghadapi gangguan bekalan air berikutan hentitugas (separa) sementara loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2.

Read more...

Kos Baiki Kenderaan Terjejas Banjir Boleh Cecah RM2,000

KEMAMAN, 16 Disember - Bengkel-bengkel membaiki kenderaan di daerah ini dipenuhi kenderaan bersalut lumpur, menunggu untuk dibaik pulih selepas ditenggelami banjir.

Ada bengkel yang beroperasi sehingga lewat malam bagi memastikan kenderaan pelanggan dapat dibaik pulih pada kadar segera.

Menurut Pemilik bengkel, Hashim Abdul Rahman, dalam situasi biasa bengkelnya menyelenggara sekitar lapan kenderaan sehari, namun kini mencecah 20 buah. Dari segi kos baik pulih pula bergantung kepada tahap kerosakan, namun lazimnya paling teruk ialah sekitar RM2,000.

Bagi memastikan pelanggan memahami kos yang perlu ditanggung, penjelasan mengenai alat ganti yang mungkin perlu ditukar serta kosnya akan diberi.

Read more...

Tentera Syria Lepaskan Tong Bom, 36 Maut

BEIRUT, 16 Disember - Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh semalam apabila helikopter tentera Syria melepaskan tong-tong yang berisi bom di utara bandar Aleppo, kata Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia.

Video yang dimuatnaik oleh aktivis tempatan menunjukkan kebakaran selepas serangan udara itu berlaku.

Pihak pemerhati yang berpangkalan di Britain berkata sekurang-kurangnya 15 daripada mangsa korban adalah kanak-kanak.

Tong bom merupakan silinder yang diisi bahan letupan atau tong minyak yang sering diletakkan di belakang helikopter untuk tujuan menyerang sasaran tertentu, bagaimanapun mampu menyebabkan kecederaan dan kerosakan yang ketara.

Rumah Khas Untuk Tentera Di Johor

JOHOR BAHARU, 16 Disember - Sebanyak 211 daripada 1,055 rumah mampu milik dan kos sederhana rendah yang dibina di Taman Mutiara Rini, Skudai, diperuntukkan kepada bekas dan anggota tentera.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, projek itu yang dibangunkan Mutiara Rini Sdn Bhd membabitkan pembinaan 748 rumah berkembar dengan keluasan 111.5 meter persegi dijual pada harga RM220,000 seunit.

Baki 307 unit lagi membabitkan pembinaan rumah teres sederhana murah berkeluasan 79 meter persegi dijual dengan harga RM80,000 seunit.Semua rumah berkenaan dijadual siap sepenuhnya tahun depan.

PM Saran Pelabur Jepun Tinjau Peluang Perniagaan, Beri Jaminan Dasar Mesra Pelaburan

TOKYO. 13 Disember - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan terus melaksanakan dasar mesra pelaburan dan menyediakan iklim pelaburan yang kondusif. Sehubungan ini, beliau menggesa agar para pelabur Jepun meninjau peluang pelaburan dalam pelbagai sektor di Malaysia. 

Beliau berkata, antara bidang pelaburan itu ialah dalam industri halal yang kini pesat berkembang, pembangunan Greater Kuala Lumpur dan koridor-koridor ekonomi di wilayah utara dan di Sabah. Datuk Seri Najib berkata demikian dalam ucaptama di Majlis Perasmian Persidangan bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca) ke-32 di Hotel Imperial.

Read more...

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09