Tabung Kebajikan Wartawan NPC Terima Sumbangan RM20,000 Daripada Menteri Kesihatan

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Tabung Kebajikan Wartawan Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) menerima sumbangan peribadi RM20,000 daripada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam. Sumbangan itu diumumkan oleh beliau pada Majlis Sepetang Bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.Subramaniam di Rumah Kelab NPC dalam lawatannya buat kali pertama.

Beliau berkata, wartawan memain peranan penting dalam membentuk destini negara ini kerana mereka menyebar maklumat, menghubungkan pembuat dasar dengan rakyat dan membentuk pendapat ramai. Sementara itu, Presiden NPC Mokhtar Hussain dalam ucapannya berkata, kelab itu mempunyai lebih 500 anggota yang aktif terdiri daripada wartawan dan profesional berkaitan media.

Read more...

10 Qari, Qariah Perdengar Bacaan Al-Quran Pada Malam Kelima

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Sepuluh lagi peserta memperdengarkan bacaan Al-Quran pada malam kelima Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-55 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi. Tujuh qari yang mengalunkan bacaan Al-Quran ialah Nazmul Hasan dari Bangladesh, Isa Jumah Sengoma (Uganda), Thawfeeg Ahmed (Maldives), Abdel Salem El Sayeed El Ameer (Mesir), Gamie Sosal Gamie Dahaye (Sudan), Nu'man M. Pimbayabaya (Filipina) dan Kadir Sagirkaya (Turki).

Tiga qariah yang memperdengar bacaan Al-Quran mereka ialah Nurjariya I.Pantao dari Filipina, Nur Adillah Mohamed Rihat (Singapura) dan Hajar Boussaq dari Morocco. Setakat ini, 41 qari dan qariah telah selesai mewakili negara masing-masing sebelum hari terakhir tilawah Sabtu ini. Seramai 80 qari dan qariah terbaik dari 49 negara menyertai tilawah bertema Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah itu. Johan qari dan qariah masing-masing akan menerima kepingan emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 berserta wang tunai RM40,000, piala iringan, cenderamata dan sijil penghargaan.

DBP Cadang Kementerian Dan Jabatan Kerajaan Lantik Juruaudit Bahasa

BUTTERWORTH, 4 Julai - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencadangkan agar semua kementerian dan jabatan kerajaan melantik juruaudit bahasa bagi memantau penggunaan Bahasa Melayu dalam setiap urusan. Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan ketika mengemukakan cadangan itu berkata, kajian oleh DBP menunjukkan terdapat kementerian yang menggunakan Bahasa Melayu hanya 17 peratus dalam urusan harian termasuk mesyuarat.

Katanya, sudah sampai masanya penguatkuasaan mengenai pematuhan penggunaan bahasa Melayu di jabatan kerajaan ditingkatkan. DBP menyarankan semua kementerian dan jabatan kerajaan memiliki juruaudit bahasa mereka sendiri yang berperanan memantau tahap penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan harian.

DBP sedia melatih kakitangan kementerian dan jabatan terbabit sebagai pegawai bahasa bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi mereka. Datuk Dr Awang berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Perpaduan Ummah anjuran DBP, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) semalam.

Majlis itu dirasmikan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor. Untuk permulaan katanya, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi melaksanakan audit bahasa terhadap papan iklan luar selain mewujudkan penarafan bintang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Untuk fasa satu, terdapat 18 PBT yang melaksanakan sistem penarafan bintang ini dan akan dipertingkatkan pada masa hadapan dan selain itu pindaan Akta DBP 1959 juga akan disegerakan bagi memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menguatkuasakan pemantauan dan tindakan terhadap pihak yang menggunakan bahasa rojak.