Contohi Polisi Bayaran Balik Prasarana

KUALA LUMPUR, 2 November -  Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) mencadangkan penyedia pengangkutan awam lain menerima pakai dasar yang sama seperti diamalkan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) untuk membuat bayaran balik kepada penumpang yang mengalami kelewatan.

Presidennya Ajit Johl menyifatkan pengumuman baru-baru ini yang diumumkan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri di Dewan Rakyat pada 31 Oktober lepas sebagai langkah positif bagi pengguna pengangkutan awam.

"Kami mahu ia menjadi amalan standard oleh semua penyedia pengangkutan awam. Pengusaha bas, sama ada antara bandar atau bas ekspres, pengusaha teksi dan semua pengendali tren seharusnya mempunyai polisi ini dan mekanisme mudah untuk membuat bayaran balik," kata beliau dalam kenyataan.    

Bagaimanapun katanya, Prasarana harus mengkaji semula syarat yang ditetapkan - iaitu hak tuntutan itu terbatal dengan sendirinya jika pengguna masih meneruskan perjalanan dengan menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) atau KL Monorel.

 

Sumber:Bernama

Kanak-kanak 3 Tahun Antara 20 PATI ditahan Dalam Operasi Bersepadu di Lahad Datu

LAHAD DATU, 2 November - Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun merupakan antara 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam operasi bersepadu di Kampung Bakapit, Jalan Tungku di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata dalam operasi sekitar pukul 3 pagi itu pihaknya menahan seramai sembilan lelaki, enam wanita dan lima kanak-kanak lelaki berusia antara tiga hingga 50 tahun.

"Seramai 76 orang telah diperiksa dan 20 daripadanya ditangkap kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, tahanan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara Tawau untuk menunggu proses siasatan dan pengusiran oleh pihak imigresen.

Beliau berkata seramai 75 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara menyertai operasi bersepadu yang berakhir pukul 5.30 pagi itu.

               

Sumber: Bernama

MOSTI Track Autism Mampu Kesan Lokasi Kanak-kanak Austism

KUALA LUMPUR, 2 November - MOSTI Track Autism -- satu sistem yang dibangunkan di bawah MOSTI Social Innovation (MSI), bagi mengesan kanak-kanak, menggunakan teknologi navigasi satelit dan diintegrasi dengan teknologi komunikasi mudah alih.

Pegawai Penyelidik, Shahrizal Ide Moslin berkata, menerusinya -- kanak-kanak Autism akan dipakaikan dengan alat pengesanan satelit navigasi G-P-S berbentuk jam tangan.

Kaedah itu membolehkan ibu bapa mengesan lokasi anak mereka hanya melalui aplikasi yang telah dimuat turun pada telefon pintar. 

Beliau menyatakan demikian dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV Satu.

Sistem MOSTI Track Autism turut memenangani anugerah khas BELS Special Prize' dalam Pertandingan Aplikasi Satelit Navigasi Eropah 2016 di Circulo De Bellas Artes De Madrid, Sepanyol baru-baru ini.

 

Sumber:RTM

Hadiah RM18000 Menanti Pemenang Juara Joran

SEREMBAN, 2 November - Hadiah keseluruhan berjumlah RM18,000 menanti pemenang pertandingan memancing 'Juara Joran' sempena Festival Taman Tasik Seremban 2016 anjuran Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di Taman Tasik Seremban Fasa 2 dan 3 di sini pada 13 November ini.

Menurut laman sesawang rasmi MPS, juara pertandingan itu akan membawa pulang RM8,000; naib juara RM5,000; tempat ketiga RM3,000; keempat RM1,000 manakala tempat kelima hingga kesepuluh, masing-masing menerima RM200.

"Selain hadiah untuk pemenang pertandingan, penganjur juga menawarkan hadiah cabutan bertuah kepada peserta," menurut kenyataan itu.

Pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja. Yuran penyertaan RM70 untuk satu joran dan peserta boleh mendaftar lebih daripada satu joran.

Borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang rasmi MPS iaitu http://www.mpsns.gov.my atau Facebook rasmi MPS.

Pendaftaran bermula pada 17 Okt hingga 12 Nov ini. Pertanyaan lanjut mengenai pertandingan itu boleh menghubungi Jabatan Taman dan Landskap MPS di talian 06-7667683.

               

Sumber: Bernama