12 Dewan Pembedahan HSA Johor Bahru ditutup, Operasi dipindah ke Hospital Berdekatan

KUALA LUMPUR, 2 November - Kesemua 12 dewan pembedahan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang terlibat dalam kebakaran telah ditutup dan operasi perkhidmatannya dipindahkan ke hospital-hospital berdekatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata operasi Unit Rawatan Rapi HSA turut dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Pakar kita (HSA) pergi dengan pasukan sendiri dan staf sokongan untuk buat pembedahan, kemudian (setelah selesai) balik semula ke hospital lama (HSA)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang perkembangan terkini operasi HSA, yang terbakar pada 25 Okt lepas sehingga meragut enam daripada tujuh pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Selatan hospital itu.

Katanya, setakat ini semua urusan HSA di hospital-hospital yang dipindahkan tidak menghadapi masalah.

 

Sumber: Bernama

Pahang Perlu Guna Akta Industri Perkhidmatan Air 2006

KUALA LUMPUR, 2 November - Kerajaan Pahang perlu merombak system bekalan air mentah negeri itu menerusi penggunaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 segera, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Katanya langkah itu perlu bagi memastikan bekalan air yang berkualiti dan berterusan di Pahang.

Kerajaan negeri juga harus semak semula tarif air untuk menampung kos operasi, sekali gus melonjak kualiti perkhidmatan untuk manfaat pengguna, katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, menitahkan kerajaan negeri supaya memberi perhatian serius dan segera mengatasi masalah bekalan air di beberapa daerah di negeri itu.

Datuk Seri Ongkili berkata Pahang adalah antara tiga negeri yang masih belum melakukan migrasi ke akta itu, yang memperuntukkan mengenai kawalan selia perkhidmatan air, selain Selangor dan Melaka.

 

Sumber:Bernama

47,667 Calon Duduki Peperiksaan Penggal 3 STPM 2016 Mulai 7 November

KUALA LUMPUR, 2 November - Seramai 47,667 calon bakal menduduki peperiksaan Penggal 3 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 di 705 pusat peperiksaan seluruh negara, pada 7,8,9,10 dan 14 November.

Menurut kenyataan Majlis Peperiksaan Malaysian (MPM) hari ini, daripada jumlah itu, 47,098 adalah calon sekolah kerajaan, 296 calon sekolah swasta, 260 calon persendirian individu dan 13 calon sekolah kerajaan negeri.

Sementara itu, 50,865 calon pula akan menduduki peperiksaan Penggal 1 STPM 2017 pada 15, 16, 17 dan 21 Nov di 687 pusat peperiksaan.

Read more...

KPWKM Timbang Gubal Akta Tangani Diskriminasi Gender

KUALA LUMPUR, 2 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menimbang kemungkinan menggubal undang-undang khusus bagi menangani diskriminasi terhadap wanita dalam semua sektor di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata selaku anggota Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), kementerian komited memastikan tiada diskriminasi terhadap wanita di negara ini baik dalam sektor awam atau swasta.

"Buat masa ini perkara mengenai diskriminasi wanita ada disebut dalam Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan mengenai Kesamarataan.

Read more...