Laluan Pejalan Kaki Kompleks Dayabumi-Pasar Seni Dibuka Secara Rasmi

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Laluan pejalan kaki berbumbung dari Kompleks Dayabumi ke Stesen LRT Pasar Seni dibuka secara rasmi, yang membolehkan orang ramai berjalan dengan selesa ke bangunan di sekitarnya.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, laluan sepanjang 237 meter itu adalah sebahagian daripada projek hubungan pejalan kaki yang dilaksanakan KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH), anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Projek dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini menjadi bukti komitmen Petronas dalam membantu kerajaan dengan menyumbang semula kepada orang ramai melalui pembinaan kemudahan yang selamat dan selesa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian antara DBKL dan dua pihak lain daripada KLCCH bagi perkhidmatan penyenggaraan laluan pejalan kaki di sini semalam.

Perjanjian pertama adalah antara DBKL dan Kuala Lumpur Convention Centre Sdn Bhd bagi kerja penyenggaraan bahagian laluan dari KLCC ke Bukit Bintang, manakala perjanjian kedua pula antara DBKL dan Kompleks Dayabumi Sdn Bhd bagi kerja penyenggaraan laluan dari Kompleks Dayabumi ke Stesen LRT Pasar Seni.

DBKL diwakili Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, manakala KLCCH ketua pegawai eksekutif kumpulannya Datuk Hashim Wahir.

Bercakap kepada pemberita, Datuk Seri Tengku Adnan yang sebelum itu merasmikan laluan berkenaan, berkata projek itu, yang merintis jalan bagi pembinaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan bangunan dengan bangunan, akan memudahkan orang ramai berjalan dengan selesa dan selamat dari Pos Malaysia, Muzium Tekstil, Agrobank, Masjid Negara dan bangunan warisan di sekitar Dataran Merdeka ke Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) yang terletak di Jalan Sultan Sulaiman kelak.

Projek itu adalah sebahagian daripada beberapa laluan pejalan kaki yang menghubungkan pusat beli-belah dan pelancongan antara KLCC dan Bukit Bintang di bawah Inisiatif Rangkaian Pejalan Kaki Komprehensif Bidang Ekonomi Utama Negara Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Inisiatif ini bertujuan menggalakkan lebih banyak rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam untuk berkunjung ke Kuala Lumpur melalui penyediaan laluan pejalan kaki yang selesa dan selamat untuk mereka apabila bergerak dari satu tempat ke tempat lain di ibu negara.

Datuk Seri Tengku Adnan berkata, KLCCH dan DBKL juga merancang membina satu lagi laluan pejalan kaki sepanjang 1.4 km menghubungkan Kompleks Dayabumi dan Masjid Negara (menambah baik) dan Kompleks Dayabumi ke bangunan Pasar Seni.