Terapi Senaman Semakin Diterima di Malaysia

KUALA LUMPUR,  7 November - Terapi Senaman semakin diterima dalam kalangan rakyat Malaysia bukan sahaja untuk menjaga kesihatan malah juga bagi merawat empat penyakit tidak berjangkit utama (NCD), kata pakar terapi senaman, Dr Lee Chee Peng.

Beliau berkata, terapi itu mempunyai potensi sebagai perubatan alternative kepada perubatan konvensional dalam mencegah NCD seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, obesiti dan "dyslipidemia" melalui preskripsi terapi senaman yang betul.

"Terapi senaman didapati menghasilkan banyak perubahan positif kepada tubuh badan manusia jika dilaksanakan dalam dos yang betul. Rawatan ini didapati berkesan menerusi kajian rintis dan kajian lebih 10 tahun," katanya kepada Bernama.

Menurut Dr Lee, Malaysia akan mempunyai klinik latihan pertamanya pada bulan depan yang mana ia menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam membantu orang ramai untuk mengelak penyakit kronik.

Beliau berkata, klinik yang bernilai RM2 juta itu dimulakan oleh Datuk Seri Jessy Lai, ketua pegawai eksekutif syarikat korporat multinasional, MonSpace,akan dibina di Bukit Jalil.

Klinik itu akan tampil dengan protokol preskripsi senaman berkomputersepenuhnya untuk merawat NCD dengan dos senaman yang betul.

"Terdapat rancangan untuk membina 20 klinik senaman sehingga tahun depan dengan enam hingga lapan ahli terapi senaman membantu pesakit di setiap klinik. 

Ini selaras dengan hasrat wawasan negara untuk menjadi negara sihat menjelang 2020," katanya.

Dr Lee berkata, Raja Datuk Seri Yong Sofia Almarhum Sultan Azlan Shah telah melancarkan klinik senaman di Tapak Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, Kolej Senaman dan Perubatan Sukan Asia di Setia Alam, Shah Alam akan melahirkan graduan Diploma Sains Senaman (Terapi Senaman) untuk menampung keperluan klinik.

               

Sumber : BERNAMA