98 Sekolah di Negeri Sembilan Dikenal Pasti Untuk Penyelenggaraan Pendawaian

SEREMBAN, 7 November - Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan mengenal pasti 98 sekolah menengah dan rendah yang berusia lebih 20 tahun di negeri ini untuk penyelenggaraan pendawaian.

Pengarahnya Rusni Ab. Jalil berkata, pihaknya telah memohon peruntukan sebanyak RM26 juta untuk tujuan itu kepada Kementerian Pendidikan dan kini sedang menunggu kelulusan.

"Ia melibatkan 28 sekolah di Seremban, Port Dickson (20), Jempol (19), Rembau (14), Tampin (13) dan empat sekolah di Kuala Pilah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui ketika membuat tinjauan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah di sini, hari ini.

Rusni mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini bahawa Kementerian Pendidikan akan memeriksa dan melakukan pendawaian semula elektrik di sekolah menengah dan rendah yang berusia lebih 50 tahun di seluruh negara bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Datuk Seri Mahdzir berkata, kerja-kerja pendawaian semula itu akan dilakukan secara berperingkat bermula hujung tahun ini dengan keutamaan terhadap sekolah yang berusia lebih lama.

Rusni berkata, beliau telah memantau keadaan sekolah di negeri ini dan terdapat beberapa sekolah yang memerlukan tindakan segera.

"Kita akan beri keutamaan kepada sekolah yang memerlukan keperluan tinggi. Kini terdapat sebanyak 475 sekolah di Negeri Sembilan termasuk yang terbaharu iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Enstek," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah membuat saringan dadah dalam kalangan pelajar dan setakat ini tiada pelajar di negeri ini yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

"Bagi saringan dadah dalam kalangan guru pula, ia dibuat setelah mengenal pasti guru yang berisiko tinggi dan setakat ini tiada guru yang terlibat dengan dadah. Begitu juga, tiada guru di negeri ini terlibat dengan anasir subversif terutamanya dalam aktiviti militan Daesh setakat ini," katanya.

 

Sumber : BERNAMA