Enam Calon Duduki SPM di Tiga Hospital di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 November - Enam daripada 20,528 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu hari ini menduduki peperiksaan itu di tiga hospital di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, Bazlan Abdul Rahman berkata empat calon menduduki SPM di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan masing-masing seorang calon di Hospital Dungun dan Hospital Hulu Terengganu.

Bazlan yang diiringi pegawai Jabatan Pendidikan Terengganu hari ini berkesempatan melawat calon-calon berkenaan di HSNZ sebelum peperiksaan itu bermula.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit, Nu'r Dayana Izzati Mohd Fauzi, 17, berkata beliau tidak menyangka terpaksa menduduki peperiksaan itu di hospital setelah terjatuh di asrama pada 22 Okt lepas.

"Saya mengalami keretakan di bahagian tulang belakang dan sebelum ini tidak mampu duduk...hanya terbaring, namun setelah doktor memasang peralatan khas di badan, saya kini mampu duduk dengan lebih selesa walaupun tidak mampu lagi berjalan seperti biasa.

"Walaupun masih menerima rawatan di hospital, saya tidak mengabaikan persediaan SPM kerana guru-guru dan kawan sekolah sering berkunjung ke sini untuk membantu saya membuat ulangkaji...kadang-kadang saya juga hubungi mereka melalui telefon.