Bekas Polis Ditahan Menyamar Polis dan Peras Ugut

GEORGE TOWN, 4 November - Seorang bekas anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes seorang peniaga diperas ugut sehingga RM20,000 oleh sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai polis di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Jalan Burma, di sini 25 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di George Town kira-kira 1 tengah hari semalam.

"Berdasarkan siasatan, bekas anggota polis yang pernah bertugas di Pulau Pinang itu merupakan anggota kumpulan yang sama dengan lima lelaki yang kami tahan sebelum ini. Mereka dipercayai aktif sejak tahun lepas.

"Siasatan juga mendapati selain terlibat dalam beberapa kes yang sama di Pulau Pinang, mereka juga terlibat dalam kes menyamar sebagai polis dan memeras ugut mangsa di beberapa negeri lain," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu menyamar sebagai polis dengan menjadikan bekas tahanan ordinan darurat sebagai mangsa mereka.

Mior Faridalathrash berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan wang tunai yang mereka peroleh daripada mangsa dalam kejadian di George Town itu.

"Susulan penahanan lelaki itu, polis turut merampas baju tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), kasut hitam, gari, kad kuasa polis, jam tangan berjenama dan telefon bimbit," katanya.

Isnin lepas, polis menahan lima lelaki termasuk bekas sukarelawan polis di Hulu Klang, Selangor, berusia 23 hingga 58 tahun, di George Town dan Ampang, Selangor bagi membantu siasatan kes itu.

               

Sumber : BERNAMA