Permata Seni Berminat Wujud Program Pertukaran Dengan China - Rosmah

BEIJING, 4 November - Permata Seni berminat untuk mewujudkan program pertukaran dengan Central Conservatory of Music Middle School, sekolah muzik tersohor China, yang berjaya melahirkan ramai ahli muzik terkenal China.

Penaung Permata Negara Datin Seri Rosmah Mansor berkata Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara akan ditugaskan untuk berbincang dengan sekolah tersebut berkenaan program yang dicadangkan itu.

Rosmah, yang mengiringi suami beliau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan rasmi ke China sejak Isnin, melawat sekolah itu pada Rabu lepas.

Beliau menyatakan rasa kagum dengan program yang dijalankan di sekolah itu dalam mendidik dan memperkembangkan bakat muda dalam bidang muzik.

"Sekolah ini tidak hanya melatih pelajar bermain alat muzik barat, tetapi juga alat muzik tradisional," katanya kepada media Malaysia di sini.

 

Sumber : BERNAMA