36,263 Calon Duduki Peperiksaan SPM di Sarawak Tahun Ini

KUCHING, 4 November - Seramai 36,263 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Sarawak yang diadakan serentak di seluruh negara dari 7 Nov hingga 6 Dis.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, 32,971 daripada calon itu atau 90.92 peratus adalah dari sekolah bantuan kerajaan manakala 1,473 orang atau 4.06 peratus merupakan calon sekolah swasta dan baki 1,819 atau 5.02 peratus adalah calon persendirian.

"Kesemua calon ini akan menduduki SPM di 257 pusat peperiksaan iaitu di 231 pusat sekolah menengah kerajaan, 12 pusat sekolah menengah swasta dan 14 pusat persendirian di seluruh negeri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abang Mat berkata, seramai 215 penyelia kawasan dan 2,073 pengawas peperiksaan telah dilantik untuk mengendalikan SPM di negeri itu.  

Beliau turut mengingatkan semua calon supaya membawa kad pengenalan atau kad perakuan serta slip kemasukan calon semasa menduduki peperiksaan.

Calon yang perlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Sektor Penilaan dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Sarawak di talian 082-473532 atau 082-473507.

Mereka juga boleh menghubungi Unit Penilaian dan Peperiksaan di Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negeri.

               

Sumber : BERNAMA