KWSP Perkenal Akaun Emas Bagi Ahli Berumur 55 Tahun ke Atas

KUALA LUMPUR, 4 November - Bermula 1 Januari 2017, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan dana persaraan kedua iaitu Akaun Emas untuk ahli berumur 55 tahun dan ke atas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata akaun tersebut merupakan antara inisiatif di bawah penambahbaikan skim yang terkandung di dalam Akta KWSP 1991. 

Semua caruman baru yang diterima selepas umur 55 tahun akan secara automatik dimasukkan ke dalam akaun emas dan akan hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai umur 60 tahun.

KWSP memberi jaminan pengeluaran umur 55 tahun masih kekal dan ahli berumur 55 tahun ke atas masih boleh membuat pengeluaran ke atas baki simpanan. 

Akaun emas juga tidak akan menjejaskan skim semasa di mana ahli diberi pilihan untuk membuat pengeluaran penuh atau sebahagian apabila mencapai umur 55 tahun. 

Selain itu KWSP turut melanjutkan had pengkreditan dividen dari umur 75 tahun sehingga 100 tahun.

 

Sumber : RTM