PTPTN Perkenal Sistem Debit Langsung

KUALA LUMPUR, 4 November - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional PTPTN menyasar peningkatan kutipan bayaran balik secara bulanan antara lima hingga 10 peratus melalui pelaksanaan kaedah bayaran secara debit langsung. 

Keadah ini yang mula dilaksanakan bulan ini merupakan hasil kerjasama antara PTPTN dan Bank Islam. 

Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff berkata usaha sama tersebut bertujuan memudahkan peminjam PTPTN untuk membuat bayaran balik tanpa sebarang caj tambahan. 

Bank Islam akan menanggung caj pendaftaran sebanyak RM2 serta caj transaksi bulanan sebanyak 80 sen bagi kemudahan berkenaan. 

Peminjam boleh membuat bayaran balik menerusi akaun semasa mahupun simpanan, sama ada akaun persendirian atau bersama. 

Kaedah bayaran ini dapat mengelakkan berlakunya tunggakan sekali gus peminjam tidak dikenakan sebarang tindakan penguatkuasaan seperti disenarai hitam Jabatan Imigresen dan saman serta memastikan rekod baik dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Peminjam juga akan mendapat potongan 10 peratus daripada jumlah pinjaman sedia ada, seperti yang diumumkan dalam bajet 2017 lalu.

 

Sumber : RTM