Empat Kanak-Kanak Terbunuh di Luar Bandar Damsyik

SYRIA, 7 November  - Empat kanak-kanak terbunuh di luar bandar wilayah Damsyik, Syria semalam.

Kejadian berlaku selepas serangan udara tentera kerajaan terhadap pemberontak tersasar dan mengenai pusat jagaan kanak-kanak.  

Media tempatan melaporkan, serangan dilakukan tentera kerajaan namun tersasar. Kejadian dilaporkan berlaku di bandar Harasta, wilayah timur luar bandar Damsyik. 

Video yang dikeluarkan Pertubuhan Berita Smart, menunjukan, lantai pusat jagaan kanak-kanak itu dipenuhi darah mangsa.

Serangan juga menyebabkan keadaan dalam bangunan pusat jagaan berselerak. Kanak-kanak yang cedera dilaporkan dibawa dan dirawat disatu lokasi yang dirahsiakan.

Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain melaporkan, empat kanak-kanak terbunuh dan sekurang-kurangnya 19 cedera.

Bagaimanapun, rakaman video menunjukan seorang lelaki berusaha menyelamat mangsa yang cedera melebihi 25 orang.

Sementara itu, laman sosial pembangkang, Syria Revolusi Network turut  menyiarkan rakaman kesan serangan dilokasi yang sama.