PM - Syarikat Jepun Di Malaysia Wajar Fokus Kpd Bidang Teknologi Tinggi

TOKYO, 12 Disember - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelaburan syarikat Jepun di Malaysia pada masa akan datang perlu lebih tertumpu kepada bidang yang dapat meningkatkan rantaian nilai serta berfokuskan teknologi tinggi.

Bercakap pada sidang media bersama rakan sejawatannya, Shinzo Abe, selepas mesyuarat dua hala selama 45 minit di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Jepun (Sori Kantei), Datuk Seri Najib berkata, beliau menyuarakan perkara itu kepada Abe, dengan mengambil kira transformasi yang berlaku di Malaysia pada masa ini serta hakikat bahawa Malaysia kini dianggap sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi.

"Saya menyebut bidang seperti teknologi hijau dan teknologi boleh baharu, pelupusan sisa serta kerjasama dalam PKS (perusahaan kecil dan sederhana)," katanya.

Perdana Menteri tiba pagi Khamis dalam rangka lawatan kerja empat hari sempena sidang kemuncak ulang tahun ke-40 hubungan dialog Asean-Jepun.

Beliau juga berkata, syarikat-syarikat Jepun boleh memanfaatkan kekuatan mereka jika memberi tumpuan dan membuat pelaburan dalam bidang teknologi tinggi.

Jepun kini merupakan pelabur asing terbesar di Malaysia dengan kira-kira 1,400 syarikat dari negara itu beroperasi dengan pelaburan dalam bidang pembuatan telah mencecah AS$22.2 bilion.

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09