KKMM, RTM Tambah Baik SOP Tatacara Kewangan Kandungan Penyiaran Digital - Salleh

KUALA LUMPUR, 4 November - Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bekerjasama membuat penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) berhubung tatacara kewangan untuk Projek Pembangunan Kandungan Penyiaran Digital stesen televisyen itu.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, penambahbaikan dan langkah-langkah pengawalan kewangan berkenaan dijalankan sejak Jun 2014 bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

"RTM dan kementerian juga telah menambah baik terma rujukan dan keahlian Jawatankuasa Perolehan Rancangan TV," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Seri Dr Salleh mengulas Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung Pengurusan Projek Pembangunan Kandungan Penyiaran Digital di bawah KKMM yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri dan dibentangkan di Parlimen pada 16 Jun 2014.

Dalam kenyataan media mengenai laporan itu semalam, Pengerusi PAC Datuk Seri Hasan Arifin berkata, KKMM dan RTM perlu memantapkan kawalan terhadap urusan pembayaran serta perolehan membabitkan kandungan penyiaran bagi memastikan rakyat memperoleh manfaat daripada wang dibelanjakan.

Datuk Seri Hasan berkata, setiap prosedur dan pekeliling berhubung tatacara kewangan yang disediakan kerajaan perlu dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan berlaku ketirisan dan penyelewengan.

PAC dalam prosidingnya, antara lain membangkitkan tentang perbelanjaan perolehan program bagi saluran TV1 dan TV2 berjumlah RM43.70 juta adalah di luar skop projek berkenaan tanpa mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi dan Perbendaharaan.

Sambil menerima baik saranan PAC itu, Datuk Seri Dr Salleh menjelaskan RTM kini memberi sepenuh perhatian dan akan lebih berhati-hati agar sentiasa mematuhi semua prosedur dan pekeliling berhubung tatacara kewangan.

"Tindakan tatatertib sepertimana yang telah disyorkan oleh Jawatankuasa Siasatan Khas LKAN (Laporan Ketua Audit Negara) Siri 2/2013 yang ditubuhkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam telah pun diambil," kata Datuk Seri Dr Salleh.

               

Sumber : BERNAMA

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09