Malaysia Kutuk Serangan ke Atas Arab Saudi

PUTRAJAYA, 4 November - Malaysia mengutuk serangan peluru berpandu ke atas Arab Saudi, dan berharap pihak bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata serangan itu merupakan pencabulan yang jelas terhadap kedaulatan kerajaan Arab Saudi dan merupakan ancaman yang besar kepada keamanan dan keselamatan serantau serta global.

"Malaysia berdiri teguh atas solidaritinya dengan Arab Saudi, dalam keazamannya untuk memelihara keamanan dan kestabilan kerajaan Arab Saudi," menurut kenyataan itu.

Pada 27 Oktober, puak pelampau Houthi di Yaman melepaskan peluru berpandu balistik dikenali sebagai Burkan-1 ke arah Kota Suci, Makkah, bagaimanapun peluru berpandu itu berjaya dipintas dan dimusnahkan oleh angkatan tentera darat Arab Saudi, pada jarak 65 kilometer sebelum memasuki kota suci itu.

Serangan serupa dilancarkan oleh Houthi di tapak pangkalan udara Arab Saudi di Taif pada 10 Okt.

Kementerian Luar berkata Malaysia berharap konflik yang sedang berlaku di rantau itu akan diselesaikan menerusi saluran politik dan diplomatik.

               

Sumber : BERNAMA

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09