Pemeriksaan Keselamatan Blok Barat HSA dijangka Selesai dalam 3 Minggu

KUALA LUMPUR, 3 November - Pemeriksaan keselamatan blok barat bangunan induk Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu lagi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata proses pemeriksaan keselamatan blok itu, yang telah bermula minggu ini, sedang dilakukan oleh Bahagian Kejuruteraan Kementerian Kesihatan.

"Mereka telah melantik beberapa pakar perunding swasta dan sedang membuat pemeriksaan tahap keselamatan blok barat (juga dikenali Blok D) dari segi keselamatan elektrik, gas biologikal, perkakasan elektrik dan keselamatan struktur.

"Mereka beritahu saya, mereka mungkin memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu untuk tamatkan pemeriksaan itu sebelum memberi laporan kepada kementerian mengenai tahap keselamatan blok tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Datuk Seri Dr Subramaniam berkata laporan keselamatan yang diberikan itu nanti akan menentukan sama ada bangunan tersebut masih boleh digunakan atau memerlukan proses pembaikan atau pemulihan.

               

Sumber: Bernama

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09