SKMM Turut Siasat Dana Asing Libatkan Portal Media

KUALA LUMPUR, 3 November - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyiasat aduan berhubung penyaluran dana asing kepada portal berita tertentu dengan niat menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata laporan tersebut akan diserahkan kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung ancaman itu dan siasatan terperinci perlu dibuat dengan meneliti pelbagai sumber media baharu sebelum ia diserah kepada Peguam Negara.

"Kita telah terima aduan tentang perkara itu dan sekarang ini kita lihat (penglibatan) media baharu. Kita sedang kenal pasti daripada sumbernya. Kemudian serah kepada AG (Peguam Negara) untuk buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran KL International Youth Discourse 2016 di sini hari ini.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan akan dibuat terhadap dakwaan hartawan George Soros membiayai BERSIH, Merdeka Center dan Malaysiakini di Malaysia.

 

Sumber: Bernama

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09