KPDNKK Perlu Teliti Cadangan Mekanisme Penetapan Harga Minyak Masak

PUTRAJAYA, 3 November - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan mekanisme penetapan harga minyak masak.

Beliau, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu meneliti cadangan mewujudkan mekanisme penetapan harga minyak masak itu demi kesejahteraan rakyat.

"Itu cadangan yang harus diteliti dengan baik oleh pihak KPDNKK dan bukan sahaja daripada NGO (badan bukan kerajaan) malah maklum balas daripada media dan orang ramai juga boleh diguna pakai," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Tangani Kos Sara Hidup, berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa NGO supaya mekanisme penetapan harga minyak masak diwujudkan agar pengilang dan pembekal tidak menetapkan harga bahan itu sewenang-wenangnya hingga membebankan rakyat.

Beliau berkata cadangan dan maklum balas berkaitan mekanisme itu perlu disalurkan kepada KPDNKK untuk dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan.

 

Sumber: Bernama

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09