Ada kemungkinan Kongres Amerika Syarikat Ratifikasikan TPP

BEIJING, 3 November - Terdapat kemungkinan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan diratifikasikan oleh Kongres Amerika Syarikat  sama ada pada akhir November atau awal Disember tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kita diberikan gambaran ada kemungkinan perkara ini diluluskan oleh Kongres.

"Ini disampaikan melalui komunikasi yang sering disalurkan," katanya kepada wartawan Malaysia, di sini, pada Rabu, sebelum berlepas ke Cebu, Filipina untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Datuk Seri Mustapa, yang berada di sini mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan selama enam hari beliau ke China, akan ke Hong Kong kemudiannya untuk menghadiri majlis penutup Persidangan Asia Pasifik Perniagaan Jerman pada Jumaat.

Beliau berkata Amerika konsisten dengan pendirian mereka mengenai TPP, dan sentiasa memaklumkan mengenai perkembangannya.

"Oleh itu ada kemungkinan ia diluluskan oleh Kongres, bagaimanapun ia memerlukan kelulusan Senat and House of Representative untuk meluluskannya," katanya.

 

Sumber: Bernama

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09