Pusat Sains Negara Sabah Akan Berkonsepkan Dimensi Kelima

KUALA LUMPUR, 2 November  -  Pusat Sains Negara (PSN) di Sabah akan berkonsepkan dimensi kelima (dalam alam semesta) selari trend terkini PSN di seluruh dunia, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata konsep itu bertujuan meningkatkan penglibatan dan penyertaan pengunjung yang boleh memberi kesan kepada pembentukan minda dan golongan celik sains.

"Kita merangka elemen biodiversiti memandangkan alam semulajadi di Sabah kaya dengan ekosistem, flora dan fauna, bagi memanfaatkan aktiviti pembelajaran luar bilik darjah dan ruang rekreasi yang kondusif.

"Antara ruang rekreasi yang akan disediakan seperti Teater 7D, Taman Pendidikan Sains, 'Eco-Journey' dan kemudahan lain," katanya semasa menjawab soalan Datuk Dr Ewon Ebin (BN-Ranau) mengenai status terkini pembinaan dan kemudahan yang disediakan untuk PSN di Sabah.

Mengulas lanjut berhubung pembinaan PSN itu, Abu Bakar berkata MOSTI belum menetapkan tarikh pembinaan bagi memulakan projek tersebut kerana ia masih dalam peringkat perbincangan bersama kerajaan negeri Sabah dan pihak berkaitan.

"Ia masih belum dapat diputuskan lagi kerana cadangan pembinaan itu perlu mendapat kelulusan daripada agensi pusat dan jumlah kos pembinaannya," katanya.

 

Sumber: Bernama

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09