MH370: Analisis Tambahan Komunikasi Satelit Pesawat Selaras Dengan Lokasi Pesawat

KUALA LUMPUR, 2 November - Laporan terbaharu berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 melaporkan  analisis tambahan komunikasi satelit dari pesawat selaras dengan lokasi pesawat berada di kedudukan tinggi dan meluncur laju apabila pesawat hilang.

Laporan itu dikeluarkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, ATSB, hari ini, menjelang mesyuarat tiga hari dihadiri pakar-pakar antarabangsa di Canberra.

Analisis sama ke atas serpihan sayap flaperon juga mendedahkan pesawat itu tidak dikemudi untuk pendaratan.

Kedua-dua maklumat berkenaan menyokong pandangan ATSB sebelum ini bahawa pesawat MH370 itu turun mendadak selepas kehabisan bahan api tanpa campur tangan manusia.

Laporan setebal 28 muka surat itu turut mengandungi analisis penerbangan akhir dan simulasi baharu pesawat. Mesyuarat juga tertumpu untuk merangka operasi baharu untuk mencari pesawat MH370, selain mengkaji semula kesemua data dan membuat analisis berkaitan.

Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Sebahagian sayap dikenali sebagai flaperon ditemukan terdampar di Pulau Reunion, Perancis pada Julai tahun lalu.

Operasi pencarian dasar laut disambung semula Oktober lalu setelah dihentikan Jun lalu akibat cuaca buruk. Kawasan pencarian merangkumi 120 ribu kilometer persegi sekitar selatan, Lautan Hindi.

 

Sumber: RTM

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09