59 Kilang di Kawasan Perindustrian Nilai Diarah Sedia Laporan Pemantauan Kendiri

SEREMBAN, 31 Oktober - Sebanyak 59 kilang di kawasan perindustrian Nilai, dekat sini diminta menyediakan laporan Pemantauan Kendiri secara berkala kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, bagi tujuan pemantauan.

Pengarah JAS Negeri Sembilan Norhazni Mat Sani berkata ia adalah bagi memastikan kesemua kilang industri sederhana dan ringan di situ mematuhi standard mengikut Akta Kualiti Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya.

"Kita arahkan semua kilang itu menyediakan laporan tersebut walaupun ada antaranya tidak membuat pelepasan industri ketika beroperasi.

"Daripada 59 kilang itu, hanya 14 kilang ada membuat pelepasan industry iaitu 12 ke Sungai Buah manakala dua lagi ke Sungai Batang Benar. Setakat ini belum ditemui pelepasan melebihi tahap keselamatan yang mengakibatkan pencemaran. 

"Kita mahu semua kilang itu mematuhi standard yang ditetapkan ketika membuat pelepasan industri dan ketika beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Insiden Pencemaran Bau Air Mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di sini, hari ini.

Pada 23 Okt lepas, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd menyatakan LRA Sungai Semenyih ditutup akibat pencemaran bau air sungai disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian Nilai.

Jarak antara kawasan perindustrian Nilai ke muka sauk LRA Sungai Semenyih adalah 8.5 kilometer.

Mengulas siasatan insiden itu, Norhazni berkata sehingga kini JAS negeri mendapati tiada penemuan yang menunjukkan kilang di Nilai menjadi penyebab pencemaran bau air mentah yang menyebabkan penutupan LRA Sungai Semenyih.

"Selain itu, siasatan kita turut tertumpu di kawasan tapak kemalangan lori treler yang membawa muatan produk minyak sawit pada 22 Okt lalu yang hanya dimaklumkan kepada JAS sehari kemudian. Kita akan panggil saksi dalam kemalangan itu untuk membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan kita juga mendapati kualiti air yang diambil memang baik dan boleh diproses. Bagaimanapun, keputusan analisis Jabatan Kimia tetap perlu kita tunggu.

"Kesemua sampel air Sungai Buah di enam kawasan panas, sampel industri dan sampel tanah di kawasan kemalangan telah kita kemukakan kepada Jabatan Kimia dankita yakin ia akan menyegerakan penyelidikan mereka memandangkan ini merupakan isu kecemasan," katanya.

Sementara itu, Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Datuk Abu Ubaidah Redza berkata keputusan sampel air dan tanah dijangkadiperoleh hujung minggu ini.

 

Sumber : BERNAMA

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09