SPRM Tahan Lebih 1,000 Pegawai Kerajaan, GLC Setakat September

KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 1,037 pegawai kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berikutan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram antara tahun 2014 sehingga September lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, mereka terdiri daripada 225 penjawat awam dan dua dari GLC yang ditahan pada 2014; 398 penjawat awam dan tujuh pegawai GLC (2015) serta 388 penjawat awam dan 17 pegawai GLC ditahan bagi tempoh Januari sehingga September lepas.

"Jumlah nilai suapan yang dirampas dan dibekukan pada 2014 adalah sebanyak RM113,436,354.80; 2015 (RM30,782,280.29) dan sehingga September 2016 jumlah yang telah dirampas dan dibekukan adalah RM27,554,652.31," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Low menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) mengenai bilangan pegawai kerajaan daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta GLC yang ditangkap oleh SPRM bagi kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram setiap tahun mulai 2014 sehingga September 2016 dan jumlah nilai wang tunai, harta dan bentuk rasuah yang lain.

 

Sumber : BERNAMA

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09