Produk Ubi Kayu Jadi Daya Penarik Program Jualan Terus Dari Ladang FAMA

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Program Jualan Terus Dari Ladang kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) edisi ke-10 hari ini mengetengahkan juadah makanan berasaskan ubi kayu sebagai daya penarik kepada pengunjung yang hadir.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Datuk Sharifah Hashim berkata antara juadah yang dijual adalah ubi kayu rebus dengan pencicah terdiri daripada kelapa parut, ikan masin, sambal ikan bilis dan sambal hijau; ubi kayu goreng biasa atau sambal; tapai ubi kayu; ubi getuk; bingka; ubi kayu sira dan kerepek.

"Keistimewaan program kali ini adalah juadah berasaskan ubi kayu yang pasti menggamit memori silam dalam kalangan pengunjung selain mempromosikan juadah tersebut kepada generasi muda yang tidak tahu akan keenakannya.

Juadah ini kini dikomersialkan yang bukan hanya disajikan penduduk kampung sahaja, malah turut menjadi sajian kegemaran ramai di hotel-hotel," katanya kepada pemberita pada pembukaan program tersebut yang diadakan di perkarangan ibu pejabat FAMA di sini.

Program bermula 8 pagi sehingga 5 petang bertujuan menawarkan pelbagai produk pertanian segar pada harga berpatutan kepada pengguna dan kakitangan FAMA.

Program jualan sehari itu menjanjikan harga istimewa produk pertanian segar antara lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

Menurut Sharifah, penganjuran program itu dilihat membantu meningkatkan nilai jualan dan pendapatan peserta menerusi konsep jualan terus hasil ladang kepada pengguna.

"Ia membantu pelbagaikan saluran pemasaran secara terus daripada Pengeluar Ladang Kontrak kepada pengguna," katanya.

Sejumlah 30 peserta termasuk usahawan karavan 'food truck' mengambil bahagian dalam program yang menjual pelbagai produk pertanian dan makanan antaranya pisang, mangga chokanan, jagung manis, sayur-sayuran, ubi kayu, dan pokok orkid.

Mengenai sasaran nilai jualan edisi kali ini, Sharifah berkata pihaknya menyasarkan RM100,000 memandangkan musim durian telah berlalu namun beliau yakin buah-buahan lain akan membantu nilai jualan memandangkan ianya dijual pada harga rendah.

"Pada Ogos ketika musim durian, nilai jualan direkod sebanyak RM302,860. Bila musim durian sudah habis, pada September nilai jualan menurun kepada RM66,894. Namun ia tidak jejaskan program ini kerana produk dan buah-buahan lain juga ada tarikan tersendiri," katanya.

 

Sumber : BERNAMA

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09