21 Gerabak Tren Kargo Tergelincir, Tiada Kemalangan Jiwa Dilaporkan

IPOH, 28 Oktober - Sebanyak 21 gerabak tren kargo, dua daripadanya lokomotif, tergelincir dari landasan di Kampung Bakap, Batu Gajah awal hari ini.

Ketua Zon Satu Balai Bomba dan Penyelamat Perak Mohd Khairul Jamil berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada pukul 3.43 pagi itu disebabkan kereta api 41 gerabak itu tidak membawa penumpang.

Beliau berkata, tren kargo dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek di sini dipercayai kosong kerana mahu mengambil muatan simen.

Dua orang pemandu tren itu tidak mengalami kecederaan, bagaimanapun, mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

"Terdapat kebakaran kecil pada bahagian enjin gerabak dan anggota bomba hanya dibenar masuk ke lokasi setelah bekalan elektrik di kawasan itu ditutup," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Berikutan kemalangan itu, landasan kereta api bagi laluan utara serta selatan terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pengalihan gerabak.

Mohd Khairul berkata dua jentera dengan 16 anggota serta pegawai terlibat dalam operasi memadam kebakaran dan pengalihan gerabak.

 

Sumber : BERNAMA

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09