Penyelidik Sejarah Temui Kesan Barangan Peribadi Dipercayai Milik Tentera Jepun

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Sekumpulan penyelidik sejarah tempatan mendakwa menemui kesan barangan peribadi dipercayai milik tentera Jepun sewaktu pesawat yang dinaiki mereka terhempas di kawasan Pagoh, Johor ketika era perang.

Ketua Penyelidik Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad berkata ia meliputi cermin mata, tali pinggang dan tali payung terjun yang menunjukkan tentera Jepun itu dipercayai tidak sempat terjun keluar sebelum pesawat itu terhempas.

"Kajian dan siasatan awal di kawasan bangkai pesawat menunjukkan ada bukti bahawa kru pesawat tersebut mungkin terkorban. Namun, atas beberapa faktor, mayat tidak dapat ditemui.

"Faktor tersebut adalah cuaca dan dua kebakaran hutan yang memusnahkan sebahagian bangkai pesawat. Bangkai pesawat itu pula ditemui di kawasan bekas paya dan jika ada rangka manusia, rangka tersebut telah terendam di dalam air selama 70 tahun.

"Oleh kerana faktor tersebut, kami tidak berjaya menemui mayat tentera Jepun kecuali kesan barangan peribadi milik mereka. Selepas sampel barangan itu diperiksa dan dianalisis baru-baru ini, ia disahkan milik tentera Jepun yang terkorban," katanya kepada Bernama di sini.

Shaharom berkata, pihaknya kemudian menghantar hasil kajian tersebut kepada Kedutaan Jepun untuk tindakan lanjut namun mereka tidak dapat memberi keputusan sama ada ia memang milik tentera negara itu.

"Melalui emel yang diterima daripada Kedutaan Jepun, pihak mereka menunggu pengesahan wujudnya bukti fizikal adanya mayat tentera sebelum boleh memberi kerjasama sepenuhnya.

"Sekiranya anda (MHG) ada sebarang maklumat tentang penemuan mayat manusia, terdapat kemungkinan bahawa mereka (Kerajaan Jepun) mungkin melakukan 'kajian terperinci' untuk mengesahkan bahawa mayat manusia itu dahulunya merupakan tentera Jepun," kata Shaharom.

Mengulas lanjut mengenai saranan kerajaan Jepun itu, Shaharom berkata pihaknya percaya memang wujud kru pesawat tersebut yang terkorban dan boleh mengaitkannya dengan penemuan kesan barangan peribadi.

 

Sumber : BERNAMA



Namun katanya, kajian mendalam untuk mengesahkan wujud mayat tentera tersebut tidak dapat dijalankan pihaknya kerana masalah teknikal seperti kekurangan peralatan.

Waktu Solat Kuala Lumpur

Imsak Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
05.30 05.40 06.56 13.00 16.21 18.58 20.09